Saturday, 25 June 2022

PM lancar mesin pengorek terowong Genting

  • Published in Semasa

BUKIT TINGGI, 23 Jun - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan mesin pengorek terowong, TBM pertama, TBM1, projek Laluan Rel Pantai Timur, ECRL.

Ia menandakan bermulanya kerja pengorekan Terowong Genting sepanjang 16.39 kilometer menghubungkan Bentong, Pahang dengan Gombak, Selangor, menembusi Banjaran Titiwangsa berhampiran Bukit Tinggi.

Kerja penembusan dijangka mengambil masa dua tahun setengah hingga tiga tahun dengan kemampuan mengorek purata sekitar 400 hingga 600 meter sebulan.

Datuk Seri Ismail Sabri menegaskan projek tersebut menawarkan jalinan pengangkutan lebih moden, selamat, dan efisien ke Pantai Timur apabila siap kelak.


(Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa Majlis Perasmian Pengorekan Terowong Genting ECRL di Terowong Genting ECRL, Bukit Tinggi, di sini)

Justeru beliau mahu Kementerian Pengangkutan berbincang dengan pihak berkepentingan bagi merangka kadar tambang yang berpatutan dan mesra rakyat.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong pula berkongsi keyakinan mesin TBM1 berkenaan mampu menghadapi cabaran kejuruteraan dan geologi meliputi kawasan berbukit dan pergunungan.

Terowong Genting berfungsi sebagai pelengkap bagi melancarkan pengangkutan kargo di antara Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Klang serta menghubungkan penumpang Pantai Timur dengan Terminal Bersepadu Gombak.

Seramai 23,000 pekerja dijangka terlibat dalam projek infrastruktur nasional ini dengan 70 peratus adalah pekerja tempatan.

Dijadual siap pada Disember 2026, projek ECRL bakal beroperasi sepenuhnya, Januari 2027.