Wednesday, 28 September 2022

Budaya dan tamadun Melayu semakin lemah, perlu diperjuangkan - Rais

  • Published in Semasa

(Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim ketika ditemu bual media)

KUALA LUMPUR, 19 Jun - Pertubuhan seperti Lembaga Peradaban Melayu (ADAB), Yayasan Budi atau badan-badan berkaitan perlu memperjuangkan budaya dan tamadun Melayu yang dilihat semakin lemah dan ditinggalkan masyarakat Melayu.

Menurut Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, sistem pendidikan negara juga perlu mengambil serius mengenai usaha itu yang memberi tumpuan kepada generasi baharu.

Jelasnya, semua pihak terutama kerajaan perlu berganding bahu melaksanakan program yang membawa kepada pembaharuan sikap serta perbuatan yang berkaitan peradaban.


(Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan
Lembaga Peradaban Melayu (ADAB di Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA) Bukit Kiara) 

"Oleh kerana adab itu sangat penting sama dengan budi mesti dibantu oleh sistem pendidikan kita tetapi sistem pendidikan kita hanya menyentuh antara pergi dan datang saja..bermakna tidak serius dalam soal budaya tinggi dalam soal adab tinggi dalam soal budi bahasa dan nilai-nilai murni, sekarang oleh kerana COVID-19 sudah selesai, Lembaga ADAB dengan Yayasan Budi dan Dewan Negara barang kali boleh mencantumkan tenaga membuat beberapa program sentuhan baru menerusi beberapa kementerian dan beberapa pihak yang menganjurkan budaya dan budaya tinggi di tanah air kita," kata beliau kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Lembaga Peradaban Melayu (ADAB) di Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA) Bukit Kiara, di sini.

Tambah Rais, perkara 160 Perlembagaan Malaysia berkenaan adat dan istiadat juga perlu dipelopori dalam memberi sentuhan nilai murni kepada generasi baharu.