Tuesday, 29 November 2022

Qari Perak, qariah Selangor johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan

  • Published in Semasa

(Johan Qari Aiman Ridhwan Mohamad (kiri) bersama Johan Qariah Sofiyah Mousin (kanan) pada Majlis Perasmian Penutupan dan Pengurniaan Hadiah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2022/BERNAMA)

JOHOR BAHRU, 18 Jun- Qari dari Perak, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dan qariah dari Selangor, Sofizah Mousin dinobatkan sebagai johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1443H/2022M di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar Johor malam tadi.

Mereka menerima hadiah wang tunai RM15,000 berserta pakej menunaikan haji dan hadiah iringan lain.

Pemenang akan mewakili Malaysia di Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 17 hingga 22 Oktober depan.

Aiman Ridhwan, 24 tahun berkata, ini merupakan pencapaian terbaiknya selepas aktif sejak berusia 18 tahun.

(Johan Qari Aiman Ridhwan Mohamad (tengah) menerima ciuman kegembiraan daripada ibu Umi Kalsum Sukri (kiri) dan bapa Mohamad Ramlan (kanan) selepas Majlis Perasmian Penutupan dan Pengurniaan Hadiah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2022/BERNAMA)

Manakala bagi Sofizah, 33 tahun, ini merupakan percubaannya yang ketiga.

"Perasaan saya macam tadi ada sangat gembira dan terharu, tak tahu nak cakap macam mana memang tak sangka. Orang kata rezeki Allah tu memang betul, memang saya tidak sangka, tapi saya memang sudah buat yang terbaik jadi berserah pada Allah. Jadi ini memang rezeki Allah nak bagi," kata Aiman Ridhwan.

Sofizah pula berkata sebagai seorang guru, masa untuk beliau berlatih adalah terhad. "Jadi ada masa kelapangan, setiap hari saya akan buat latihan di dalam kereta, semasa saya memandu saya akan buat latihan suara setiap hari," katanya.

Sementara itu hafiz dari Kelantan, Abdullah Ulwan Ismail dan hafizah dari Johor, Nurjahidah Hadirah Alliar@Ilyas dari Johor muncul johan acara hafazan 30 juzuk.

Pemangku Raja Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam berkenan menyempurnakan Majlis Penutupan dan Pengurniaan Hadiah yang turut menyaksikan Johor muncul sebagai juara keseluruhan.