Saturday, 25 June 2022

RTM kearah martabat seni budaya tempatan

  • Published in Semasa

KUCHING, 27 Mei - Radio Televisyen Malaysia (RTM) sedia bekerjasama dengan jabatan serta agensi lain untuk mengadakan program yang memartabatkan seni dan budaya tempatan pada masa akan datang.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud berkata usaha itu penting agar seni dan budaya tempatan dapat dijunjung dan diangkat ke peringkat lebih tinggi.

Kataya program-program melibatkan kesenian dan kebudayaan yang merupakan identiti sesebuah tempat perlu diperbanyakkan untuk menyemarakkan lagi suasana dan persekitaran aktiviti seni dan budaya setempat.

Che Roslan berucap demikian pada majlis perasmian Juh Bermukun 76 Jam Tanpa Henti untuk catatan Malaysia Book of Records di Auditorium P. Ramlee RTM Kuching.

 

(Che Roslan pada majlis perasmian Juh Bermukun 76 Jam Tanpa Henti untuk catatan
Malaysia Book of Records di Auditorium P. Ramlee RTM Kuching)

Katanya bunyian dan melodi yang terhasil melalui persembahan seni muzik gendang Melayu Sarawak atau 'bermukun, tandak dan gendang lama adalah seni budaya unik dimiliki Sarawak dan tidak terdapat di mana-mana negeri lain.

Justeru ia harus dipelihara, diperjuang dan diperkembangkan lagi terutamanya di kalangan generasi muda di negeri ini.

Menurut Che Roslan lagi program yang melibatkan 76 peserta mukun ini sekali gus bakal menyaksikan permulaan satu lagi detik bersejarah dalam dunia penyiaran Malaysia khasnya di Sarawak.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak serta agensi-agensi lain yang menyokong RTM Sarawak merealisasikan program empat hari itu yang akan melabuhkan tirai pada Isnin ini.