Saturday, 25 June 2022

Pasukan kaji kandungan, bawa RTM terus ke hadapan

  • Published in Semasa

KUCHING, 27 Mei - Jabatan Penyiaran di setiap negeri disaran menubuhkan pasukan mengkaji kandungan program yang mampu membawa Radio Televisyen Malaysia (RTM) ke hadapan.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud memberitahu kajian tersebut merangkumi pemerhatian kepada elemen-elemen yang perlu dimasukkan untuk penambahbaikan.

Che Roslan berkata, walaupun bukan dalam bentuk lonjakan ia boleh dilaksana dalam bentuk anjakan iaitu bergerak ke hadapan untuk membolehkan transformasi yang lebih segar daripada aspek kandungan siaran yang lebih berkesan.

Beliau turut menyentuh peranan Jabatan Penyiaran sebagai medium kerajaan yang sangat penting kepada masyarakat dengan maklumat yang disampaikan betul, tepat dan sahih.

Datuk Che Roslan ditemui dalam majlis Perhimpunan Dwi Bulanan RTM Sarawak di sini.

Beliau turut berkesempatan menyaksikan perasmian program Juh Bermukun 76 jam tanpa henti di Auditorium P.Ramlee, RTM Kuching.

(Che Roslan ketika majlis Perhimpunan Dwi Bulanan RTM Sarawak)

Perasmian disempurnakan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Penganjurannya bersempena Ulang Tahun Hari RTM ke-76 dan sambutan 100 hari Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.

76 peserta mukun terlibat sepanjang persembahan bukan sahaja melibatkan peserta mukun seluruh Sarawak malah turut disertai pemukun Sabah dan Labuan.

Persembahan juga disiarkan secara langsung di platform media sosial Facebook RTM Sarawak serta semua saluran radio RTM Sarawak.

Program bermukun ini pernah dianjurkan pada tahun 2004 dengan catatan 50 jam tanpa henti.