Sunday, 26 June 2022

Penerima bantuan MAIWP diminta semak dan kemaskini maklumat peribadi

  • Published in Semasa

KUALA LUMPUR, 27 Mei - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menasihatkan penerima bantuan bulanannya agar menyemak dan mengemas kini maklumat peribadi mereka bagi penyaluran bantuan tambahan sebanyak RM150 seorang.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad ini adalah bantuan terbaharu MAIWP di bawah program Kasih Asnaf-Zero Hunger khusus buat penerima Bantuan Kewangan Bulanan MAIWP yang kini seramai 30,000 orang.

(Idris menyampaikan anugerah kepada  penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MAIWP)

"Sumbangan RM150 yang diberikan, ini satu sumbangan yang baru yang diberikan oleh pihak MAIWP. Salah satu untuk ikhtiar yang kita buat untuk kita meringankan bebanan terutama dalam kalangan masyarakat. Sasaran kita adalah untuk pastikan masyarakat terlibat ada makanan di atas meja . Kita tahu asas yang perlu ada kepada masyarakat terutama di bandar. Ini kerana MAIWP sedar kerana dalam soal kemiskinan di bandar ini lebih dasyat berbanding kemiskinan di kampung," kata Idris selepas menyampaikan anugerah kepada 94 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MAIWP di sini.

Bantuan boleh ditebus melalui aplikasi Boost dan juga dompet MAIWP.

Tambah Idris jika penerima bantuan bulanan MAIWP tidak mempunyai telefon pintar boleh terus ke pejabat MAIWP untuk berbuat demikian.

Selain itu MAIWP dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) telah memperuntukkan RM3 juta bagi membantu asnaf meningkatkan taraf hidup.

Ini menerusi inisiatif bantuan modal dan ilmu perniagaan kepada 2,000 orang penerima dibawah program Musa’adah Tijariyyah 2.0 dan Inspirasipreuner.

Pada majlis tersebut beliau menyeru agensi dibawahnya terutama MAIWP untuk terus kehadapan bagi membantu golongan asnaf yang memerlukan demi memastikan tiada lagi yang kelaparan.