Saturday, 25 June 2022

RM3.95 juta dikumpul menerusi Projek Wakaf Air KASA

  • Published in Semasa

PENDANG, 27 Mei - Projek Wakaf Air Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) berjaya mengumpul kutipan sebanyak RM3.95 juta sejak ia dilancarkan pada 17 Disember 2020 sehingga kini.

Sepanjang tempoh tersebut lebih RM930,000 telah diperuntukkan bagi melaksanakan 23 Projek Wakaf Air di tujuh buah negeri di Semenanjung Malaysia dan memberi manfaat kepada lebih 12,000 penduduk.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman berkata ia melibatkan tujuh projek wakaf air di Kelantan, lima di Pahang, masing-masing tiga projek di Kedah, Perak dan Selangor serta Johor dan Negeri Sembilan masing-masing satu projek.

Beliau berkata sebanyak 19 lagi projek bernilai lebih RM887,000 sedang dalam pelaksanaan dan akan memanfaatkan hampir 10,000 penduduk dan dijangka siap pada bulan Jun dan Julai tahun ini.

Enam daripada projek tersebut terletak di Kedah iaitu di Kampung Padang Toi, Kampung Charok Kit, Kampung Sena, Kampung Danglau, Kampung Titi Akar dan Kampung Desa Jaya.

Projek-projek ini merangkumi skop pembinaan kolam tadahan air, penyambungan paip berserta aksesori dan pembinaan tangki air.

(Mansor bercakap kepada pemberita selepas
melawat Projek Wakaf Air di Kampung Titi Akar di sini)

"Kita buat projek ini kerana di kawasan-kawasan yang tidak sampai bekalan atau saluran air. Itu yang kita laksanakan ini. Yang kedua untuk memenuhi program infaq ini, dan ini mustahak kerana kita mahu galakkan masyarakat untuk ke jalan Allah SWT. Saya nak sebut juga disini penting ianya terbuka kepada semua. Walaupun kita namakan infaq, wakaf air ini tetapi ia bukan untuk orang muslim sahaja. Jadi semua, muslim dan bukan muslim," kata Mansor di sini.

Penggunaan dana Wakaf Air adalah bagi membiayai projek-projek perkhidmatan air berskala kecil bernilai di bawah RM50,000 seperti penggalian perigi, penyelenggaraan dan pembelian alat ganti bagi meneruskan bekalan air bersih dan penyediaan sumber alternatif.

Pada tahun ini KASA mensasarkan pelaksanaan projek diperluaskan lagi sehingga ke negeri Sabah dan Sarawak dengan had siling pendanaan dibawah RM75,000.