Monday, 27 June 2022

Warga emas hidap nyanyuk ditemukan mati

  • Published in Semasa

KEMAMAN, 27 Mei - Seorang warga emas ditemukan mati di kaki lima jalan di kilometer 8 Jalan Ibok - Ayer Jernih di sini pagi tadi.

Mayat Misron Kastaja 66 tahun itu ditemui oleh penduduk kampung yang kebetulan melalui jalan tersebut dalam keadaan tertiarap di kaki lima jalan pada pukul 7.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata warga emas tersebut merupakan seorang warga Indonesia yang mendapat warga status pemastautin tetap di negara ini.

Menurut Hanyan, warga emas tersebut menghidap penyakit nyanyuk dan tinggal seorang diri di sebuah rumah sewa di Kampung Payoh Dalam.

Mangsa sering dilihat berjalan kaki seorang diri pada setiap masa dan disebabkan oleh penyakitnya, mangsa sering terlibat dalam kemalangan ketika berjalan kaki serta ketika menunggang motosikal.

(Misron Kastaja 66 tahun ditemukan penduduk kampung  dalam keadaan tertiarap)

Sepasukan anggota polis yang menerima laporan berkenaan penemuan mayat tersebut bergegas ke lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan lanjut tidak menemui sebarang unsur-unsur jenayah pada mayat mangsa.

Waris mangsa yang tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian mengesahkan identiti warga emas tersebut dan mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.

Superintenden Hanyan berkata, proses bedah siasat akan dilakukan bagi mengenal pasti punca kematian mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.