Monday, 27 June 2022

Derita gout kronik pendengar setia Pahangfm dapat perhatian RTM

  • Published in Semasa

ROMPIN, 27 Mei - Penderitaan pendengar setia Pahangfm, Muhammad yang terlantar sejak tiga tahun lalu akibat penyakit gout kronik menarik perhatian Jabatan Penyiaran.

Menurut Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Pahang, Arrifin Awang, bantuan berupa wang tunai RM1,000 hasil sumbangan Ibu Pejabat Jabatan Penyiaran diserahkan kepada Muhammad Redzuan, menerusi program Jelajah Syawal RTM.

(Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Pahang, Arrifin Awang(kanan)

"Kita berharap dengan sedikit sumbangan ini dapat meringankan beban yang dihadapi oleh beliau dan isterinya yang turut menghidapi penyakit kronik. Disebabkan sakit, kedua-dua mereka tidak dapat bekerja mencari rezeki," kata Arrifin.

Muhammad Redzuan, 31 tahun, dan isteri merupakan penerima bantuan kewangan bulanan daripada Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang.

"JKM bagi RM500 sebulan, MUIP dapat RM400, MUIP punya saya beli ubat dan jarum kencing manis.

"Perbelanjaan saya untuk perubatan RM380, tidak termasuk lampin pakai buang dewasa sebab selalu tukar. Alhamdulliah dapat bantuan daripada RTM, harapan kalau boleh nak sihat," kata Muhammad Redzuan