Monday, 27 June 2022

Anggota polis parah dirempuh motosikal

  • Published in Semasa

BALING, 27 Mei - Seorang anggota polis cedera parah selepas dirempuh motosikal yang ditunggang remaja berusia 16 tahun.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 5 petang semalam ketika anggota berkenaan sedang menjalankan tugas Ops Motosikal dan Samseng Jalanan di Kampung Tas di sini.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat dalam kenyataan berkata ketika kejadian remaja berkenaan cuba meloloskan diri selepas diarahkan berhenti untuk pemeriksaan.

Namun remaja tersebut bertindak agresif selepas melanggar anggota yang sedang bertugas menyebabkan anggota berkenaan patah kaki.

Remaja berkenaan bagaimanapun berjaya ditahan dan direman selama empat hari bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Manakala anggota polis yang cedera dihantar ke hospital Baling untuk rawatan lanjut.

(Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat)

Remaja berkenaan antara enam penunggang motosikal berusia 16 hingga 23 tahun yang ditahan dalam operasi selama dua hari bermula Rabu lalu yang dijalankan di sekitar Kampung Lalang dan Kampung Tas.

Enam penunggang tersebut direman empat hari bagi membantu siasatan kerana terbabit dalam kegiatan lumba haram di sekitar daerah itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 64 akta sama.

Dalam operasi tersebut, sebanyak 233 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik dan 48 motosikal disita.

Motosikal yang disita melakukan kesalahan trafik seperti tiada nombor pendaftaran, pengubahsuaian ekzos, ubah struktur peralatan, tiada cermin sisi, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.