Monday, 27 June 2022

APMM tahan kapal tangki bersauh tanpa kebenaran

  • Published in Semasa

(Penahanan dibuat di kedudukan 22.6 batu nautika/APMM)

KOTA TINGGI, 27 Mei - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili menahan sebuah kapal tangki, dipercayai bersauh tanpa kebenaran di timur laut Tanjung Kelesa, Kota Tinggi, Johor, 3.20 petang semalam.

Timbalan Pengarahnya, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, kapal tangki berdaftar dari Vietnam itu ditahan bot peronda APMM semasa operasi rutin di perairan Johor Timur.

Turut ditahan, 19 warga Vietnam dan lima warga Myanmar berumur 22 hingga 55 tahun.

"Penahanan dibuat di kedudukan 22.6 batu nautika.

(APMM tahan kapal tangki bersauh tanpa kebenaran/Foti fail)

"Hasil pemeriksaan, kesemua mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah. Namun nakhodanya gagal mengemukakan kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia," kata Mohd Najib dalam satu kenyataan.

Mereka dibawa ke pejabat APMM Zon Maritim Tanjung Sedili untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.