Saturday, 25 June 2022

KPLB cari inisiatif bantu ringankan beban kos sara hidup pelajar MARA

  • Published in Semasa

SEPANG, 26 Mei- Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sedang mencari inisiatif yang bersesuaian bagi mengurangkan beban kos sara hidup pelajar dibawah tajaan Majlis Amanah Mara (Mara) yang menuntut di luar negara.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pihaknya memandang serius isu tersebut kerana ia melibatkan soal kebajikan dan jumlah pelajar yang ramai.

Justeru, pihaknya kini sedang mengatur pertemuan dengan semua pelajar di luar negara bagi sesi libat urus bersama KPLB.

"Jadi pihak MARA sendiri dah ada inisiatif untuk nak lihat berapa sebenarnya amaun yang patut ditambah. Pihak kementerian dan saya sendiri akan berjumpa dengan pelajar-pelajar di United Kingdom tidak lama lagi untuk kita berdialog, nak tanya macam mana sekarang sebabnya kos sara hidup merata tempat di seluruh dunia naik termasuk United Kingdom," kata Mahdzir kepada pemberita RTM.

Tambahnya, hasil sesi libat urus itu nanti akan dirumuskan di peringkat agensi dan kementerian sebelum dibawa untuk perhatian Perdana Menteri.

Beliau sebelum ini memaklumkan, satu penelitian semula kadar elaun pelajar luar negara dibawah tajaan MARA akan dibuat susulan kenaikan kos sara hidup pelajar khususnya di United Kingdom dan Ireland.


(Foto FB MARA)

Sementara itu, KPLB akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKOMM) bagi membantu meningkatkan kualiti capaian internet di kawasan luar bandar.

Jelas Menteri KPLB, Datuk Seri Mahdzir Khalid, pihaknya telah mengenal pasti kawasan-kawasan yang sering mengalami masalah tersebut terutama di kelas Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

Ujarnya, sehingga kini terdapat lebih 11,000 kelas KEMAS di seluruh negara dan tidak semuanya mempunyai capaian internet yang baik.

"Yang dekat dengan bandar ini mungkin capaiannya baik tapi kalau yang tinggal jauh dari bandar capaian mereka rendah. Maka, kita akan usahakan untuk kita tolong supaya sekolah KEMAS dapat dipertingkatkan, itu maksud saya. Jadi ada usaha yang kita buat supaya akhirnya kita juga dapat membantu kerajaan untuk membantu meningkatkan capaian Internet di kawasan luar bandar," tambahnya selepas melancarkan Pelan Strategik Pengurusan Sumber Manusia KPLB 2022-2025 di sini.

Pelan tersebut menggariskan 6 teras strategik yang akan membantu meningkatkan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan dan budaya kerja yang cemerlang.

Turut diraikan pada majlis tersebut seramai 87 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KPLB bagi tahun 2021 serta 14 orang pesara.