Saturday, 25 June 2022

Kriteria pekerja asing sebagai pengawal keselamatan dipertingkat - KDN

  • Published in Semasa

PUTRAJAYA, 26 Mei- Kriteria membawa masuk pekerja asing sebagai pengawal keselamatan akan lebih teliti dan tepat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menegaskan walaupun sektor keselamatan memerlukan sehingga 150,000 pengawal keselamatan untuk mengisi kekosongan di seluruh negara, tapisan kepada latar belakang pekerja yang diambil akan lebih terperinci.

KDN sebelum ini telah bersetuju untuk membawa masuk antara 50,000 ke 60,000 pekerja asing dalam sektor pengawal keselamatan manakala selebihnya adalah pekerja tempatan.

Perbincangan dengan Perdana Menteri dari negara sumber seperti Nepal, Bangladesh dan Pakistan telah diadakan tetapi kriteria ketat perlu mereka patuhi.

"Dia mestilah mempunyai pengalaman, sama ada dia pernah bekerja sebagai pihak berkuasa di negara masing-masing atau pun pernah bekerja dengan syarikat-syarikat sekuriti di negara tersebut," kata Hamzah ketika ditemui dalam Majlis Jamuan Aidilfitri Jabatan Imigresen Malaysia 2022 di Putrajaya.


(Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menjelaskan perkara tersebut kepada media ketika ditemui dalam
Majlis Jamuan Aidilfitri Jabatan Imigresen Malaysia 2022, di sini)

Antara ciri penting lain jelasnya, mereka perlu sihat tubuh badan dan juga tahu undang-undang di negara ini.