Logo

MySejahtera diaktifkan semula bermula esok, pantau wabak cacar monyet - KJ

PUTRAJAYA, 26 Mei- 'Health Alert Monkeypox' akan dilaksanakan menerusi aplikasi MySejahtera bermula esok.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan pengembara yang tiba dari negara endemik cacar monyet atau dari negara yang melaporkan kes akan menerima peringatan kesihatan tersebut setiap hari selama 21 hari sebagai peringatan untuk membuat pemantauan kesihatan kendiri.

"Sekiranya kita ada kes itu, maka kita akan melaksanakan pemantauan atau hat melalui MySejahtera. Jadi MySejahtera akan diaktifkan semula untuk penilaian di rumah (Home Assessment) dan untuk HSO sekiranya berlaku kes jangkitan atau kawalan kluster dan wabak di Malaysia," kata Khairy dalam sidang media maya di Facebook rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) petang tadi.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan turut menasihatkan kepada pengembara yang bergejala dan bermungkinan dijangkiti virus cacar monyet untuk menunda perjalanannya ke luar negara.

KKM juga telah mempertingkatkan survelan penyakit ini dalam negara dan sekiranya terdapat kes yang disyaki atau disahkan cacar monyet, pengamal perubatan dikehendaki membuat notifikasi kepada Pejabat Kesihatan Daerah dalam masa 24 jam.

Bagaimanapun, Khairy menekankan setakat ini, tiada laporan berkaitan wabak ini di Malaysia.


(Kes penyakit cacar monyet membimbangkan di luar negara/REUTERS)

Khairy turut mengulas lanjut berhubung keputusan ujian Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) mengesahkan seorang kanak kanak berusia tiga athun menghidap Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) dan bukannya wabak berkenaan.

"Setakat ini, belum ada lagi kes cacar monyet ini. Ada kes yang tular menyatakan satu kes kanak kanak yang melepuh yang dikatakan cacar monyet tapi ia disahkan HFMD. Bukan cacar monyet," tambahnya.

Kanak kanak berkenaan dibawa ke Klinik Kesihatan Batu 14, Selangor untuk membuat pemeriksaan kerana mengalami gejala demam dan ruam.

Dalam pada itu, KKM dalam persiapan dan perancangan untuk membuat vaksinasi bersasar kepada kontak rapat kepada kes cacar monyet sekiranya ada.

Khairy berkata kementerian mempunyai stok penimbal yang strategik dan bersedia dengan situasi sekiranya berlaku penularan di negara ini.

"Kita juga sedang membuat persiapan dan perancangan untuk membuat vaksinasi kepada kontak rapat sekiranya berlaku peningkatan terutama kepada mereka yang dikesan dengan cacar monyet," tambahnya.

 

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.