Monday, 27 June 2022

Kerjasama LLM dan PCSB bakal bangunkan lebuh raya pintar, Smart Highway

  • Published in Semasa

PUTRAJAYA, 26 Mei- Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama Prosignal Consortium Sdn Bhd (PCSB) bagi membangunkan sistem pengurusan lebuh raya pintar berkonsepkan Smart Highway.

Kerjasama ini merupakan strategi oleh LLM dalam mendepani era digital dalam industri lebuh raya bagi memenuhi keperluan serta ekspektasi pengguna lebuh raya.

Menurut Pengerusi Lebuhraya Malaysia, Datuk Abdul Rashid Asari, perkhidmatan kepada pengguna lebuh raya dapat dipertingkatkan melalui perkongsian idea oleh kedua-dua pihak.

"Idea-idea baharu sebagai nilai tambah dalam meningkatkan perkhidmatan kepada pengguna lebuh raya. Penyatuan kepakaran yang dimiliki kedua-dua pihak serta kerjasama industri lebuh raya akan membuahkan hasil terbaik seterusnya manfaat kpeada Keluarga Malaysia khususnya pengguna lebuh raya di Malaysia," kata Datuk Abdul Rashid kepada RTM selepas majlis menandatangani perjanjian LLM dan PCSB di sebuah hotel di Putrajaya.


(Pengerusi Lebuhraya Malaysia, Datuk Abdul Rashid Asari menjelaskannya kepada media menerusi ucapannya dalam majlis tanda tangan perjanjian tersebut)

Ini termasuk analitik, data raya dan pelbagai kepakaran yang melibatkan penggunaan kepintaran buatan (artificial intelligence).

Kerjasama ini juga melibatkan pendigitalan pengurusan sumber manusia, prosedur kerja di dalam pemantauan operasi lebuh raya mewujudkan sistem maklumat pengurusan rekabentuk dan pembinaan lebuh raya berinovasi.

Pendigitalan operasi dan pusat data serta penyeragaman sistem pengurusan lebuh raya akan memudahkan LLM menyalurkan maklumat dan informasi yang lebih pantas.

Menerusi konsep Smart Highway yang diketengahkan, ia akan melibatkan pembangunan aplikasi telefon pintar untuk operasi lebih raya dan sistem pengurusan aset lebuh raya yang komprehensif dan sistematik bagi tujuan rekabentuk, pembinaan dan penyelenggaraan lebuh raya.