Monday, 27 June 2022

Hanya dua kanak-kanak dijangkiti HFMD bergejala teruk dirawat di ICU - Khairy

  • Published in Semasa

PUTRAJAYA, 26 Mei- Hanya dua orang kanak kanak yang disahkan terkena Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) mengalami gejala teruk dan memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), setakat semalam.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan kedua-dua kes ini positif virus Enterovirus 71 atau EV71.

"Pada 25 Mei 2022, kanak-kanak pertama yang dijangkiti telah beransur pulih dan tidak memerlukan bantuan pernafasan lagi namun masih dipantau di ICU manakala kes kedua masih lagi memerlukan bantuan pernafasan tetapi dalam keadaan stabil. 'Surveilan virus' penyebab HFMD mendapati virus Enterovirus 71, Coxsackie A16 dan Coxsackie A6 adalah virus utama yang berada dalam persekitaran Malaysia," kata Khairy memberitahu media dalam sidang khas media dari Geneva yang diadakan secara dalam talian.


(Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menjelaskan perkara tersebut menerusi sidang media khas maya dari Geneva/KKM)

Lima negeri mempunyai bilangan kes tertinggi dengan Selangor mencatatkan lebih dari 16,000 kes atau 28.3% manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya pula lebih dari 7,000 kes atau 12.6%.

Negeri lain adalah Perak, Kelantan dan Sabah turut mempunyai bilangan kes yang tinggi.

Sehingga kini, bilangan kes mingguan terus meningkat dengan julat kes dilaporkan antara 1,500 ke 15,000 seminggu atau 300 hingga 2,000 kes sehari.