Monday, 27 June 2022

Keputusan Zuraida sertai PBM tidak beri kesan kepada PN - PAS

  • Published in Semasa

KUALA TERENGGANU, 26 Mei- Peletakan jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin tidak menjejaskan Perikatan Nasional (PN).

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata parti itu yakin sokongan rakyat adalah kekuatan dan penentu kepada kejayaan sesebuah parti.

Ini kerana setiap individu bebas membuat keputusan.

"Peletakan jawatan itu tak jejaskan PN sebab kita bergantung kepada sokongan rakyat. PAS bergantung pada rakyat tetapi pemimpin boleh pergi boleh datang," kata Hadi Awang ketika ditemui pemberita RTM di Majlis Rumah Terbuka PAS Terengganu, di sini.


(Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang/BERNAMA)

Dalam pada itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa sebagai rakan sejawatan dalam Kabinet, beliau menyifatkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu sebagai seorang yang cukup aktif dan sangat berjaya menguruskan kementeriannya.

Tindakan Datuk Zuraida Kamaruddin keluar daripada parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), disifatkan hak individu dan urusan sebuah parti lain.

"Mereka adalah merupakan sahabat dalam gabungan kerajaan kami, sama-sama berada dalam jemaah menteri. Jadi soal berita itu, saya fikir itu adalah hak kepada beliau dan menjadi urusan dalaman parti BERSATU yang harus kita hormati. Lain-lain daripada itu, apa yang saya dapat katakan Zuraida adalah seorang yang telah menunjukkan prestasi yang baik dalam perkhidmatan beliau," kata Annuar Musa ketika ditemu bual RTM.


(Menteri K-KOM, Tan Sri Annuar Musa/FailBERNAMA)

Terdahulu, Datuk Zuraida memutuskan untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) kerana mempercayai dengan perjuangan parti itu dan amat tertarik dengan enam prinsip terasnya.

Beliau turut menjelaskan akan bertemu dengan Perdana Menteri bagi membincangkan mengenai kedudukannya sebagai menteri.

Berita berkaitan 
Datuk Zuraida umum keluar Bersatu, sertai PBM

Sementara itu, apabila ditanya media sama ada UMNO akan bekerjasama dengan PBM, beliau berpandangan UMNO perlu bersikap terbuka sepanjang masa dan mesti menjadi tonggak kepada penyatuan mana-mana parti yang memperjuangkan perkara sama.

Tambahnya paling utama bagi mana-mana parti yang mempunyai hasrat perjuangan sama dalam membela Melayu Islam harus bermuafakat dalam PRU15 akan datang dan jika berlaku ia mampu menjanjikan kemenangan besar kepada UMNO dan rakan sekutunya.