Logo

PUNB sedia bantu usahawan terjejas akibat situasi mata wang ringgit tidak stabil

KOTA BHARU, 23 Mei- Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) bersedia membantu usahawan dibawahnya yang terkesan dengan keadaan mata wang ringgit yang tidak menentu ketika ini.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata pihaknya bersedia mendengar permasalahan usahawan dengan membantu memikirkan semula kaedah yang sesuai berdasarkan keperluan golongan itu.

PUNB akan melihat semula keperluan penyelesaian termasuk menyediakan moratorium bersasar dan mengurangkan baki pinjaman kepada usahawan yang terkesan.

Beliau turut mengingatkan golongan itu juga supaya sentiasa bersedia dengan sebarang risiko dan memperkemaskan akaun syarikat masing-masing dalam apa jua keadaan.

"Yang pastinya kita nak usahawan kita itu boleh keluar dari masalah mereka. Dalam masa yang sama, usahawan perlu berusaha untuk cantikkan akaun ini. Itu kunci bagi usahawan, kalau akaun tak cantik macam mana orang nak yakin dalam keadaan susah pun kita kena berusaha ke arah itu juga. Itu adalah keutamaan dan kita di PUNB, macam saya kata tadi, kita bersedia mendengar apa saja keperluan usahawan dan kita cari jalan untuk atasi bersama," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan program pembukaan Timsun Francais Kota Bharu di Cherang.


(Pengerusi PUNB, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkesempatan untuk bertemu dengan usahawan-usahawan PUNB di sekitar Kuala Terengganu)

Terdahulu beliau hadir dalam siri lawatan ke PUNB Wilayah Timur yang bermula di Terengganu bagi mengikuti perkembangan usahawan dalam mengembangkan perniagaan mereka.

Tahun lalu, sebanyak RM200 juta telah diperuntukkan kerajaan serta sebanyak RM50 juta dana PUNB dibelanjakan untuk membantu usahawan.

Setakat ini seramai 13,063 usahawan dan 8,179 syarikat di bawah naungan PUNB sejak ditubuhkan sehingga akhir Mac tahun ini.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.