Monday, 27 June 2022

Semua fasiliti stesen Rapid Rail dijangka siap menjelang September

  • Published in Semasa

KUALA LUMPUR, 22 Mei - Kesemua fasiliti seperti eskalator dan lif di stesen pengangkutan awam kendalian Rapid Rail Sdn Bhd yang masih belum berfungsi dengan baik dijangka siap menjelang September tahun ini.

Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, syarikat tersebut akan mencari mekanisme terbaik bagi mempercepatkan proses tersebut bagi memudahkan kegunaan penumpang khususnya warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).


(Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong)

Beliau berkata punca utama kelewatan proses penyelenggaraan tersebut berikutan penutupan sementara kilang syarikat pembekal alat ganti di Shanghai, China kerana perintah berkurung di negara itu. 

"Jadi pihak Prasarana sedang mencari kaedah lain, sama ada stok di tempat lain, atau terpaksa. Kalau tidak ada pilihan, perlu menunggu OEM ataupun kilang itu untuk menghantar dan kita telah membuat keputusan ia tidak akan dihantar melalui kapal. Ia akan dihantar terus menerusi pengangkutan udara", katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas lawatan dan pemeriksaan status lif dan eskalator di Stesen LRT Ampang Park.