Saturday, 25 June 2022

Bekalan ikan di seluruh negara berkurangan sehingga 70% - NEKMAT

  • Published in Semasa

KUALA KEDAH, 22 Mei - Bekalan ikan di seluruh negara ketika ini berkurangan sehingga 70% iaitu kira-kira 300,000 tan sebulan berbanding kira-kira 1 juta tan sebulan sebelum ini.

Kekurangan bekalan tersebut terutama spesies ikan kembong dijangka berlarutan sehingga dua bulan lagi.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Abdul Hamid Bahari berkata, kekurangan tersebut disebabkan oleh beberapa faktor.

Antaranya, keadaan cuaca yang tidak menentu menyebabkan hasil tangkapan berkurangan sekali gus menyebabkan ramai nelayan sama ada bot besar atau bot kecil tidak turun ke laut.

Malah nelayan yang turun ke laut membawa pulang hasil tangkapan ikan yang amat sedikit berbanding biasa dan tidak setimpal dengan kos yang dikeluarkan untuk menangkap ikan.

Keadaan itu menyebabkan harga ikan kembong di pasaran meningkat antara RM12 hingga RM14 ringgit sekilogram berbanding RM3 hingga RM4 ringgit sekilogram sebelum ini.

Walaupun terdapat kekurangan hasil tangkapan yang ketara, namun bekalan ikan masih mencukupi bagi menampung keperluan semasa.

(Foto hiasan)

"Jadi kita berharap supaya keadaan kembali pulih seperti sedia kala dengan fenomena yang tak menentu supaya keadaan spesies-spesies ikan kalau dulu waktu ini adalah waktu yang cukup banyak ikan kembong, ikan pelaling, ikan termenong orang sebelah utara panggil, tapi agak tak membesar secara khususnya dan kita dapat sekarang ini mula ada tapi amat berkurangan. Insya-Allah ] kita harap dalam masa sebulan lagi keadaan akan bertambah baik dari segi tangkapan ikan di seluruh semenanjung Malaysia ini," kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri Jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Kedah, di sini.

Sementara itu, Pengarah LKIM Kedah, Dr Abdul Salim Tajudin berkata,faktor kekurangan awak-awak warga asing akibat penularan COVID-19 turut menyebabkan tangkapan ikan bot besar berkurangan.

Namun beliau yakin bekalan ikan dijangka bertambah tidak lama lagi selepas kerajaan membenarkan kemasukan pekerja asing.

"Buat masa ini musim perayaan, ia (bekalan) kurang sikitlah, namun begitu kita ada stok q-fish yang segar tapi disejukbekukan, jadi kita galakkan rakyat kita terutama di Kedah ini makanlah ikan q-fish ni sebagai alternatif kepada ikan yang kita tangkap segar di laut," kata Abdul Salim.