Saturday, 25 June 2022

Mesyuarat Kabinet diawalkan ke esok, bincang kos sara hidup, bahan makanan - PM

  • Published in Semasa

KUALA LUMPUR, 22 Mei - Mesyuarat Kabinet akan diawalkan ke esok bagi membincangkan isu peningkatan kos sara hidup dan penawaran bahan makanan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan membentangkan laporan berkaitan isu berkenaan termasuk perancangan bagi mengatasinya.


(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob)

“Jadi esok, Isnin, saya panggil mesyuarat kabinet untuk melihat khusus dari segi bagaimana kita hendak mengimbangi kenaikan harga barang yang mendadak ini dan saya minta KPDNHEP untuk membentangkannya.

“Begitu juga dengan makanan, ‘supply’ makanan termasuk ayam, MAFI perlu membentangkannya,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini hari ini.

Jangkaan peningkatan kos sara hidup itu merupakan fenomena global, antaranya berikutan konflik Rusia-Ukraine serta pandemik COVID-19 sebelum ini yang turut menjejaskan pengeluaran dan penawaran bahan serta hasil makanan.