Saturday, 25 June 2022

LPPKN Negeri Perlis teruskan penganjuran WCaRe

  • Published in Semasa

KUALA PERLIS, 22 Mei - Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Perlis meneruskan program pengesanan awal kanser reproduktif pada tahun ini melalui Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe).

Kempen ini adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kanser dengan sasaran seramai 1,000 wanita di Perlis bakal menerima manfaatnya.

Menurut Pengarah LPPKN Perlis, Naemah Ibrahim, golongan wanita disaran merebut peluang yang disediakan LPPKN bagi menjalani Ujian Subsidi Mamogram dan saringan HPV DNA bagi pengesanan awal kanser payudara dan serviks atau pangkal rahim.

Selain menerusi program perkhidmatan secara bergerak, wanita yang ingin menjalani pemeriksaan boleh berkunjung ke Klinik Nur Sejahtera, LPPKN Negeri Perlis bagi mendapatkan perkhidmatan yang disediakan ini.


(LPPKN Negeri Perlis menganjurkan Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita)

"Kita memfokuskan untuk membuat saringan kanser payudara iaitu ujian mamogram dan juga saringan HPV, saringan kanser serviks melalui ujian HPV DNA yang mana untuk kedua-dua saringan ini LPPKN sediakan secara percuma, jadi untuk Perlis ini khususnya bersempena dengan sambutan Hari Ibu, sebab sambutan Hari Ibu tahun ini kita melaksanakan penganjurannya untuk kita fokuskan kepada kesejahteraan wanita untuk ibu-ibu itu sendiri melalui kempen WCaRe ini," kata beliau kepada Berita RTM selepas perasmian WCaRe sempena Sambutan Hari Ibu 2022 Peringkat Negeri Perlis dan Jelajah KASIH Keluarga Negeri Perlis di Dataran Semarak, di sini.

Program dirasmikan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Siti Berenee Yahaya.

Antara aktiviti yang turut berlangsung ialah pameran mengenai kanser dikalangan wanita, urutan Mama Care Penjagaan Ibu Selepas Bersalin dan Ujian Subsidi Mamogram dan saringan HPV DNA bagi kanser serviks.