Saturday, 25 June 2022

JBPM perlu usaha tingkat kecekapan dan profesionalisme - PM

  • Published in Semasa

KEPALA BATAS, 22 Mei - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) perlu berusaha meningkatkan kecekapan dan profesionalisme menerusi program-program strategik disusuli pelan tindakan yang melibatkan seluruh lapisan Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah bergerak secara proaktif dengan menggubal Dasar Kebombaan dan Penyelamatan Negara (DKPN) 2021-2030.

Beliau berkata dasar tersebut diyakini dapat melahirkan Keluarga Malaysia yang berdaya tahan (resilient community) serta mampu mengadaptasi konsep penyelamat nyawa rakyat (citizen life saver) dalam kehidupan seharian terutama ketika berdepan sebarang situasi kecemasan atau bencana.

"Dasar ini melibatkan komitmen pelbagai pihak dalam menjalin hubungan kerjasama strategik dengan industri keselamatan, kebakaran dan kebombaan.

"Ini amat penting kerana ia mampu membuka dimensi baharu kepada pertumbuhan dan daya saing ekonomi negara", katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2022 serta melancarkan Dasar Kebombaan dan Penyelamatan Negara (DKPN) 2021-2030, di sini, hari ini.

Katanya, pemantapan terhadap aspek perlindungan kebakaran melalui penggunaan teknologi terkini seperti automasi dan robotik pula mampu meningkatkan keyakinan bukan sahaja dalam kalangan Keluarga Malaysia, malah pemain industri dan juga pelabur.


(Perdana Menteri berucap merasmikan sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2022 dan
serta melancarkan
DKPN 2021-2030)

"Saya yakin melalui DKPN 2021-2030, warga KPKT khususnya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia akan menzahirkan komitmen padu untuk merealisasikan hasrat dan aspirasi penyampaian perkhidmatan kebombaan yang dinamik dan progresif.

"Sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab dan prihatin terhadap perkembangan perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan negara, pelbagai usaha telah diambil bagi memenuhi komitmen perkhidmatan terhadap Keluarga Malaysia terutamanya daripada aspek pembangunan infrastruktur kebombaan dan modal insan", katanya.

Perdana Menteri juga berkata kerajaan telah meluluskan peruntukan pembangunan (DE) Rolling Plan Kedua (RP2) 2022 sebanyak RM132.4 juta kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi menambah baik kesiapsiagaan dan kebajikan anggota.

Ini meliputi perolehan jentera bomba, kenderaan utiliti, kenderaan forensik kebakaran, Personal Protective Equipment (PPE) serta sistem perisian pemantauan kebombaan yang bertujuan mempertingkatkan keberkesanan jabatan dalam menangani kes kecemasan.

"Saya juga difahamkan terdapat 18 buah projek pembinaan balai bomba dan apabila siap nanti ia akan memberi impak besar kepada pengurangan tempoh masa bertindak (response time) sekaligus dapat meningkatkan keyakinan Keluarga Malaysia terhadap kesiapsiagaan jabatan bomba.

"Kerajaan juga telah meluluskan projek fizikal fasiliti kebombaan yang kini dalam proses pelaksanaan iaitu Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur, Pangkalan Operasi Utama (MOB) Subang, Selangor serta Kuarters dan Balai Bomba Goh Tong Jaya, Genting, Pahang.

"Saya yakin, ketiga-tiga projek ini mampu merencana impak yang optimum dalam aspek pentadbiran, pengoperasian dan kebajikan anggota", katanya.

Tambahnya, kerajaan juga akan memastikan perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan terus relevan dengan keperluan rakyat sejajar dengan peningkatan risiko semasa.

"Justeru, mengambil kira faktor pemerkasaan dan pemodenan aset kebombaan, Kerajaan dalam proses pertimbangan bagi kelulusan permohonan Rolling Plan Ketiga (RP3) 2023.

Sementara itu, dari aspek kebajikan, kerajaan telah meluluskan permohonan pemanjangan bayaran Elaun Kemahiran Khas kepada pegawai yang bertugas sebagai jurulatih dan tenaga pengajar di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM).

"Walaupun pada peringkat awal kita menerima permohonan dengan kadar RM300 bagi dua insentif untuk jurulatih dan tenaga pengajar, saya berpandangan kadar itu tidak sesuai dan saya telah mengarah Jabatan Perkhidmatan Awam untuk menambah jumlah elaun-elaun jurulatih dan tenaga pengajar berikut :

"Pertama ; Bayaran Insentif HAZMAT: melibatkan kadar bayaran RM30.00 bagi setiap operasi (maksimum RM600.00 sebulan);

"Kedua ; Bayaran Insentif Penyelamat Di Air: melibatkan kadar bayaran RM30.00 bagi setiap operasi (maksimum RM600.00 sebulan);

"Ketiga ; Bayaran Insentif Rawatan Kecemasan (EMRS): melibatkan kadar bayaran secara pro rata (maksimum RM150.00 sebulan); dan

"Keempat ; Bayaran Elaun Tanggungjawab Khas Pemandu: melibatkan kadar bayaran secara pro rata (maksimum RM150.00 sebulan)", katanya.

Katanya, kelulusan elaun tersebut akan memberi manfaat kepada 114 orang pegawai bomba dari Gred KB19 hingga KB38 yang bertugas sebagai jurulatih dan tenaga pengajar di lima buah Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Beliau berharap dengan kelulusan tersebut, jurulatih dan tenaga pengajar dengan kemahiran khas itu akan terus meningkatkan komitmen dan kualiti kerja ke arah melahirkan modal insan yang berkualiti dan berwibawa.