Monday, 27 June 2022

Pembinaan empangan Nenggiri bermula pertengahan Jun depan

  • Published in Semasa

KOTA BHARU, 22 Mei- Pembinaan empangan hidroelektrik di Nenggiri, Gua Musang, Kelantan akan dimulakan pada pertengahan Jun depan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pembinaannya penting untuk mengurangkan kejadian banjir, selain mengatasi isu bekalan air bersih serta pengairan untuk pertanian.

Tambah beliau, ia juga akan membuka peluang pekerjaan serta menjana ekonomi baharu di tasik takungan utamanya.

"Kita harap dengan majlis pecah tanah ini akan memulakan secara agresif program ini.

Ia bukan sahaja untuk tenaga tetapi bekalan air untuk pertanian selain daripada tebatan banjir," katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidifitri di Pasar Awam Bersepadu Wakaf Che Yeh, di sini.

(Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Menteri Tenaga dan Sumber Asli)

Jelas beliau, empangan tersebut dijangka beroperasi pada tahun 2026 dan menyalurkan 300 megawatt (MW) kepada Grid Nasional apabila siap kelak.

Projek bernilai RM5 bilion itu bukan sahaja menyokong aspirasi kerajaan ke arah meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui (RE), malah membawa pelbagai manfaat demi kesejahteraan rakyat negeri itu.

Majlis pecah tanah akan disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.