Monday, 27 June 2022

Mansuh AP, hapus monopoli syarikat besar

  • Published in Semasa

JERANTUT, 22 Mei- Keputusan kerajaan memansuhkan Approved Permit (AP) bahan makanan dari luar negara dapat menghapuskan monopoli syarikat besar yang membawa masuk makanan keperluan rakyat negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Penggguna Negeri Pahang, Nazri Ngah berkata, pemansuhan itu memberi peluang syarikat kecil terbabit secara langsung dalam pasaran import bahan makanan dari luar negara.

Menurutnya, syarikat kecil kini berperanan sebagai 'kartel' alternatif mengimport lebih banyak bekalan ayam segar dari negara ASEAN seperti Filipina, Indonesia atau Thailand.

"Bila kes dah selesai maka kenaikan harga ayam kita dapat kawal kerana tidak ada sistem monopoli daripada syarikat besar, siapa-siapa pun boleh import ayam.

Jadi kami merakam ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana telah umumkan tiada kuota untuk import ayam," katanya pada majlis rumah terbuka peringkat Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar, di sini.

(Nazri Ngah, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan
dan Hal Ehwal Penggguna Negeri Pahang)

Tambah beliau, kekurangan mendadak bekalan ayam segar di pasar raya dan pasar di peringkat nasional dan negeri menimbulkan pelbagai spekulasi dan keresahan peniaga serta pengguna.

Jelasnya, pemansuhan AP makanan yang kini terbuka kepada rakyat yang layak diharap akan meningkatkan bekalan ayam yang diimport.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pengusaha ladang ayam supaya meluaskan lagi projek ternakan ayam tempatan bagi menampung keperluan rakyat di seluruh negara.