Monday, 27 June 2022

Lebih banyak destinasi pelancongan baharu di Perlis

  • Published in Semasa

HAT YAI, 22 Mei- Sejak lebih dua tahun Covid-19 melanda dunia, Perlis kini semakin berubah wajah dengan menawarkan lebih banyak destinasi pelancongan baharu.

Justeru, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ia menjadi tarikan kepada pelancong khususnya dari negara jiran, Thailand untuk meneroka negeri itu.

"Pelbagai pihak khususnya mereka yang terlibat dalam sektor pelancongan perlu untuk terus bekerjasama dengan pihak kerajaan bagi menyediakan segala kemudahan dan keselamatan untuk para pelancong," titah baginda ketika berangkat mempromosikan pelancongan Perlis di sini.

Keberangkatan tiba baginda yang diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut Datuk Bandar Hat Yai, Leftenan Jeneral Polis, Sakorn Thongmunee.

(Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil
berangkat tiba di Hat Yai bagi mempromosikan destinasi pelancongan baharu Perlis)

Sementara itu, Sakorn berkata keberangkatan tiba tetamu diraja itu amat dialu-alukan.

"Ia menghubungkan kembali pelancongan antarabangsa, merangsang ekonomi dan membina kembali keyakinan untuk pengunjung Malaysia melawat Hat Yai yang terletak di wilayah Songkhla," katanya.

Tambah beliau, masyarakat Hat Yai sentiasa bersedia menyambut kembali kedatangan pelancong khususnya dari Malaysia dengan menawarkan perkhidmatan terbaik, pengalaman menggamit memori dan keselesaan sepanjang percutian.