Monday, 27 June 2022

Bakal jemaah haji remaja disaran ambil dos penggalak

  • Published in Semasa

KUALA LUMPUR, 22 Mei - Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan bakal jemaah haji remaja berusia 12 hingga 18 tahun disaran mengambil dos penggalak vaksin COVID-19.

Pengambilan bakal melengkapkan perlindungan diri sebelum ke tanah suci.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan, jemaah haji remaja boleh mengambil dos itu sekurang-kurangnya lima bulan selepas menerima dos kedua vaksin dos primer.

Bagi yang dijangkiti COVID-19, mereka layak menerima dos penggalak sebaik sahaja pulih sepenuhnya.

Khairy berkata, memandangkan jemaah haji juga perlu mengambil suntikan vaksin lain seperti meningococcal, influenza atau pneumococcal, pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 boleh diberikan dalam sela masa dua minggu sebelum dan selepas vaksin lain diberikan.


(Dos penggalak disarankan buat bakal jemaah haji remaja-KKM)

" Jemaah haji boleh mendapatkan dos penggalak dengan hadir tanpa janji temu (walk-in) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang masih beroperasi, dengan membawa dokumen sokongan berkaitan seperti bukti surat tawaran menunaikan haji," katanya dalam kenyataan semalam.

Sebelum ini Kementerian Kesihatan Malaysia menyarankan semua bakal jemaah berusia 60 tahun ke atas serta jemaah berusia 18 hingga 59 tahun yang mempunyai risiko klinikal penyakit teruk untuk mendapatkan dos penggalak kedua sebelum ke Tanah Suci.


Langkah itu bertujuan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan jemaah haji semasa berada di Tanah Suci, dengan mengambil kira perhimpunan yang ramai serta melibatkan jemaah haji seluruh dunia.

Khairy berkata, sebagai langkah pencegahan dan kawalan, kerajaan Arab Saudi menetapkan semua jemaah haji perlu mendapatkan vaksinasi lengkap sebelum berlepas, selain turut mengesyorkan pengambilan dos penggalak bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19, terutamanya di tempat sesak dan pengangkutan awam di negara itu.