Wednesday, 28 September 2022

MOU cadangan projek perumahan KPFB PR1MA dan KPFB Residensi di Selayang ditandatangani

  • Published in Semasa

KUALA LUMPUR, 18 Mei - Koperasi Peserta-Peserta FELCRA Malaysia Berhad (KPFB) menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) bersama SIAB Development Berhad, Koperasi Perkhidmatan Pelajaran Nasional Berhad (KOPENAS), Koperasi Kakitangan Felcra Malaysia Berhad, (KKF) dan Koperasi Hartanah Anggun Berhad (KOHAB).

Pengerusi KPFB, Datuk Sabari Misran berkata MOU ini melibatkan sebuah cadangan projek perumahan KPFB PR1MA dan KPFB Residensi di Selayang dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM389 juta.

"Kita akan jual dengan harga mampu milik, RM400 setiap kaki persegi dan ia ada dua jenis, satu yang 900 kaki persegi, dan satu lagi 1,000 kaki persegi, rumah ini kita akan jual kepada keutamaan koperasi adalah ahli-ahli koperasi yang ada di sekitar Lembah Klang ini," kata beliau dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) antara SIAB Development Berhad, KOPENAS, KKF dan KOHAB, di sini.


(Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) antara KPFB, SIAB Development Berhad, KOPENAS, KKF dan KOHAB)

Melalui projek ini, KPFB dijangka memperolehi keuntungan 13% daripada nilai GDV RM389 juta ringgit iaitu sebanyak RM50 juta.

Dengan termeterainya MOU tersebut juga KOPENAS, KKF dan KOHAB akan bertindak sebagai ejen penjual bagi projek perumahan tersebut.

Pembinaannya dijangka dimulakan hujung tahun ini dan mengambil masa selama tiga tahun.

Dengan MOU ini, KPFB berharap ia dapat menambahkan lagi pendapatan koperasi dalam jangka masa pendek dan panjang.