Saturday, 25 June 2022

191 penumpang dari Jeddah terkandas di LTAPP ekoran cuaca buruk

  • Published in Semasa

BAYAN LEPAS, 17 Mei- 191 penumpang penerbangan dari Jeddah terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) selepas kapal terbang yang dinaiki mereka tidak dibenarkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi ekoran faktor cuaca.

Kesemua penumpang dari serata negara itu sepatutnya mendarat di KLIA kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Menurut penumpang, Ariffin Ismail dan Tariq Farouk Abdul Basir, ia agak menjejaskan perancangan masa para penumpang.

"Bila kami sampai sini, mereka kata KLIA tak boleh nak mendarat sebab cuaca tak elok. So lama juga lah kami dalam kapal terbang, ada lebih kurang lima jam," kata Ariffin.


(Penumpang, Ariffin Ismail menjelaskan situasi semasa kepada pemberita RTM)

"Mereka akan susun semula jadual penerbangan seterusnya pukul 2 atau 3 pagi nanti, untuk kita tiba di Kuala Lumpur lah," kata Tariq.

Difahamkan mereka dibawa untuk berehat di salah sebuah hotel berhampiran sementara menunggu penerbangan semula ke KLIA pagi nanti.

Sementara itu, Pengurus Kanan LTAPP, Mohd Nadzim Hashim ketika dihubungi mengesahkan terdapat pesawat yang sepatutnya mendarat di KLIA dilencongkan ke LTAPP atas faktor cuaca.