Saturday, 25 June 2022

Gangguan bekalan air di Terengganu, dijangka dapat dikurangkan dalam tempoh setahun dua

  • Published in Semasa

(Gangguan bekalan air di Terengganu, dijangka dapat dikurangkan dalam tempoh setahun dua/Foto fail)

MARANG, 16 Mei - Masalah gangguan bekalan air semasa musim perayaan di Terengganu, dijangka dapat diredakan dalam tempoh setahun hingga dua tahun ini.

Isu tersebut yang sering berlaku di sesetengah kawasan sentiasa menjadi perhatian kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, antara perkara yang sedang dibincangkan ialah pembinaan loji rawatan air (LRA) yang baharu di kawasan yang sering mengalami gangguan.


(Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar)

Beliau optimis, Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) boleh menyelesaikan permasalahan tersebut secepat mungkin.

"Saya rasa sekiranya kita membina loji rawatan air yang baharu di Marang ini, insya-Allah ia akan menyelesaikan radius sini dan insya-Allah di kawasan Kuala Terengganu ia agak redalah keadaan iaitu dengan beroperasinya loji rawatan air Kuala Terengganu Utara dan di daerah-daerah lain itu ada masalah tersendirilah dan saya rasa dalam tempoh setahun dua
tahun ini insya-Allah kita dapat meredakan," katanya selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya DUN Rhu Rendang di sini.

Berhubung isu jambatan kayu yang menghubungkan Kampung Pulau Sekati dengan Kampung Paloh di Kuala Terengganu yang runtuh akibat banjir Februari lepas, Ahmad Samsuri berkata ia akan dibincangkan dalam Mesyuarat Exco pada Rabu ini.

Antara yang akan dipertimbangkan ialah kaedah terbaik memudahkan perhubungan kedua-dua kampung.