Saturday, 25 June 2022

Agong berkenan berangkat menghadap Presiden Emiriah Arab Bersatu

  • Published in Semasa

KUALA LUMPUR, 16 Mei- Hari kedua lawatan khas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Emiriah Arab Bersatu.

Baginda berkenan berangkat menghadap Presiden Emiriah Arab Bersatu, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan di Istana Mushrif Abu Dhabi kira-kira jam 12.00 tengah hari, waktu tempatan.

Al- Sultan Abdullah diiringi Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad FadilShamsuddin; Ketua Protokol Wisma Putra, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah dan Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa, Datuk Rozainor Ramli.

Turut hadir dalam pertemuan itu, Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu dan Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum; Pemerintah Fujairah, Sheikh Hamad bin Mohammed Al Sharqi; Pemerintah Syarjah , Sheikh Sultan Al Mohamed Al Qasimi dan Menteri-Menteri Kabinet Emiriah Arab Bersatu yang lain.

Dalam pertemuan secara bersemuka selama hampir sejam itu, Al- Sultan Abdullah berkenan menyampaikan titah salam takziah dan rasa dukacita atas pemergian Almarhum Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan.

Baginda menyifatkan pemergian Almarhum sebagai kehilangan besar kepada rakyat Emiriah Arab Bersatu dan negara-negara Arab serta menzahirkan harapan agar seluruh keluarga beliau sabar dan tabah menghadapi dugaan.

Baginda juga mengucapkan tahniah di atas pelantikan Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan sebagai Presiden dan Ketua Negara Emiriah Arab Bersatu yang baharu.


(FOTO FB ISTANA NEGARA)

Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu mempunyai hubungan dua hala yang amat rapat dan mesra di pelbagai peringkat, termasuk kedua-dua pemimpin dan sesama rakyat.

Hubungan dua hala yang sedia ada terjalin antara kedua-dua negara akan terus dipertingkatkan khususnya dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan.