Monday, 27 June 2022

Op Kesan Perkeso: Berbaki dua minggu lagi untuk majikan daftar pekerja

  • Published in Semasa

LANGKAWI, 16 Mei- Majikan mempunyai tempoh dua minggu lagi atau sehingga akhir bulan ini bagi mendaftar pekerja dan membayar caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mereka sebelum dikenakan tindakan tegas.

Manakala bagi majikan yang mendaftar secara sukarela sebelum tarikh pemutihan berakhir 31 Mei pula akan dikecualikan daripada tindakan kompaun, pendakwaan dan faedah caruman lewat bayar.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata Perkeso komited melaksanakan Op Kesan di seluruh negara bagi mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap majikan degil mulai 1 Jun ini.

"Kita akan mula buat operasi secara menyeluruh pada bulan Jun ini, sebab kita melihat kepada risiko yang kita ada di masa hadapan, kita tidak tahu apa akan jadi, maka kita membina satu premis persediaan sekiranya apa-apa berlaku, kita sudah ada persediaan awal," katanya.

Ujarnya lagi, majikan yang gagal mematuhi undang-undang berkenaan bakal berdepan hukuman denda sehingga RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu beliau menyampaikan cek faedah pengurusan jenazah Perkeso sebanyak RM2,000 kepada bapa, Ahmad Nur Hassanuddin, Ibrahim Majid, di Jeti Pelancongan Kuah Langkawi.

Ahmad Nur Hassanuddin, merupakan kru kapal layar yang lemas selepas terjatuh dari bot di perairan Kuah, Rabu lalu.


(Datuk Awang Hashim menyampaikan cek faedah pengurusan jenazah Perkeso  kepada bapa Ahmad Nur Hassanuddin, Ibrahim Majid, di Jeti Pelancongan Kuah Langkawi)