Monday, 27 June 2022

Kerajaan mohon tambahan 5,000 kuota haji

  • Published in Semasa

TAIPING, 16 Mei- Kerajaan telah memohon agar kuota jemaah haji tahun ini ditambah sebanyak 5,000 lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad bagaimanapun berkata, keputusan mengenainya bergantung sepenuhnya kepada kelulusan yang diberikan kerajaan Arab Saudi.

"Kalau boleh itu pun kita terpaksa bergantung kepada kemampuan yang diberikan oleh pihak kerajaan Arab Saudi kerana kita faham fasiliti sana disediakan oleh mereka dan mereka memahami dari sudut kesihatan dan sebagainya. Wallahualam itu pun pasal kita hanya mohon saja, kerana bidang kuasa ni terletak sepenuhnya kepada pihak sana," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri jamuan rumah terbuka Aidilfitri di Taiping pagi tadi.

Sebelum ini, jumlah jemaah haji dari Malaysia yang dibenarkan mengerjakan ibadah tersebut pada tahun ini adalah seramai 14,306 jemaah.

Dalam pada itu, beliau berharap bakal jemaah dapat memberi penekanan berkaitan aspek kesihatan berikutan syarat ketat yang ditetapkan untuk menunaikan haji.

Tahun ini Arab Saudi hanya membenarkan satu juta jemaah haji dari seluruh dunia mengerjakan haji dengan 85 peratus adalah jemaah luar iaitu lebih tinggi daripada tahun 2019 dengan jemaah luar hanya dibenarkan 75 peratus sahaja.

Antara syarat yang dikenakan ke atas jemaah haji tahun ini ialah mereka mesti berusia 65 tahun ke bawah, tidak mempunyai penyakit kronik dan mempunyai sijil vaksinasi COVID-19 dan perlu mengemukakan keputusan negatif ujian calitan (PCR) dalam tempoh 72 jam dari masa berlepas.


(GAMBAR FAIL/ BERNAMA)