Monday, 27 June 2022

Johor peruntuk RM8.88 juta untuk naik taraf bilik guru

  • Published in Semasa

JOHOR BAHRU, 16 Mei- Kerajaan Johor telah memperuntukkan sejumlah RM8.88 juta untuk menaik taraf 1,775 bilik guru di seluruh sekolah di negeri itu sebagai tanda penghargaan kepada guru.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata langkah berkenaan bagi memastikan 53,130 guru mempunyai tempat yang selesa dan kondusif setelah selesai menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.

"Bagi menghargai pengorbanan guru-guru di Johor, sukacita saya nak mengumumkan bantuan khas untuk bilik-bilik guru di seluruh negeri Johor dan saya berharap mereka akan menggunakan peruntukan ini dengan sebaik mungkin.

"Setiap bilik guru, tidak kira sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah agama, sekolah kebangsaan atau sekolah menengah kebangsaan akan mendapat bantuan khas RM5,000 bagi mengimarahkan bilik mereka dan memberi keselesaan kepada semua guru," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Hari Guru dan Hari Raya Aidilfitri Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) di sini hari ini.

Turut hadir, Pengetua MSAB Ahmad Shakir Jaafar.

Pada majlis itu, Onn Hafiz turut mengumumkan peruntukan RM200,000 kepada MSAB bagi menaik taraf fasiliti dan kemudahan dewan di sekolah tersebut.

"Sekolah ini (MSAB) adalah sekolah tertua di Johor yang ditubuhkan pada 1914 telah banyak melahirkan ramai tokoh yang telah berjasa kepada negara khususnya kepada Johor, atas sebab itu apabila pengetua memohon bantuan, kita meluluskan peruntukan demikian," katanya.

(Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi)

Beliau berkata selain menghulurkan bantuan untuk menaik taraf, setiap sekolah pastinya mempunyai perkara yang perlu diteliti.

"Dari segi bantuan untuk sekolah, saya rasa memang setiap sekolah ada sahaja perkara yang perlu dilihat. Saya rasa di peringkat kementerian, mereka sentiasa memperhalusi perkara tersebut, jadi tujuan saya bagi bantuan ini adalah lebih kepada penghargaan selain tanda kasih kerajaan negeri terhadap guru-guru di Johor," katanya.

Dalam perkembangan lain, menerusi hantaran di laman Facebooknya, Onn Hafiz berkata beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.

"Syukur alhamdulilah, ini merupakan tanggungjawab dan amanah yang cukup besar bagi merancakkan pembangunan luar bandar demi Bangsa Johor. Insya-Allah saya akan pikulnya dengan sebaik mungkin," katanya.