Tuesday, 17 May 2022

IHT rancakkan pelancongan Perak

  • Published in Semasa

IPOH, 15 Mei - Projek Ipoh Heritage Tourism (IHT) bernilai RM11 juta bakal merancakkan lagi sektor pelancongan negeri Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamed berkata ia merupakan salah satu inisiatif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk membangun dan menaik taraf infrastruktur serta kemudahan warisan tarikan pelancong di sini.

Pelaksanaan IHT selaras Pelan Pembangunan Strategik (SDP) Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) 2021-2025 untuk membantu proses pemulihan industri pelancongan tempatan yang telah terjejas akibat wabak COVID-19.

(FOTO HIASAN)

"Selain memastikan setiap aspek warisan asli projek ini terpelihara, projek IHT akan memberikan limpahan ekonomi yang amat diperlukan, dengan peningkatan kedatangan pelancong ke Ipoh. Secara tidak langsung akan meningkatkan aktiviti perniagaan dalam kalangan usahawan mikro kecil dan sederhana," kata Saarani kepada media selepas merasmikan projek berkenaan di sini.

Pembangunan Ipoh Padang melibatkan pemasangan infrastruktur pertunjukan cahaya dan bunyi yang memaparkan sejarah dan budaya negeri Perak, destinasi pelancongan serta memoir kartunis tersohor, Datuk Lat.

Projek IHT bermula pada 2 September 2020 dan akan siap sepenuhnya pada suku pertama 2024.