Tuesday, 17 May 2022

Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Bentong perlu disegerakan

  • Published in Semasa

KUANTAN, 15 Mei - Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) perlu menyegerakan kerja membersih dan mendalamkan sungai yang menjadi punca utama banjir kilat di Janda Baik, Bentong Rabu lalu.

Pemangku Raja PahangTengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffah Billah Shah bertitah supaya Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Bentong dilaksanakan secepat mungkin termasuk Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) di Bentong.

(Kenyataan Baginda berhubung banjir kilat di Janda Baik, Bentong Rabu lalu)

"Pembinaan Stesen Telemetri dan Stesen Amaran Banjir di huluan kawasan Janda Baik turut disegerakan.

"Pahang telah dilanda banjir sebanyak dua kali, iaitu pada awal dan akhir tahun serta beberapa siri kejadian banjir kilat juga telah berlaku disebabkan hujan yang amat lebat," titah Baginda dalam satu kenyataan.

Justeru titah baginda, kerja membersih dan mendalamkan sungai ini juga perlu dilakukan bukan sahaja di kawasan Janda Baik malah di semua sungai dan saliran yang telah cetek dan banyak mendapan di seluruh negeri akibat kejadian banjir terbabit.

Baginda bertitah lagi, agar pelaksanaan kerja-kerja pembersihan semua sungai dan saliran terbabit mesti dilaksanakan segera oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan sebelum negara memasuki musim Monsun Timur Laut pada hujung tahun ini.

Baginda pada Jumaat, turut menziarahi penduduk terjejas banjir di kawasan Janda Baik dan menghulurkan sumbangan selain melawat kawasan terjejas dan mendengar taklimat mengenai tindakan susulan segera tebatan banjir bagi mengurangkan risiko bencana berkenaan.

Baginda mengambil maklum bahawa hujan lebat luar biasa pada 11 Mei lalu dengan kelebatan 87.5 milimeter (mm) selama tiga jam bermula pada pukul 4 pagi di Bentong mengakibatkan banjir kilat di beberapa kawasan terlibat seperti Kampung Janda Baik, Kampung Sum-Sum, Kampung Cheringin, Kampung Chemperoh dan Kampung Lampin.