Monday, 27 June 2022

Program Sedekad Jelajah Ramadan rai keluarga nelayan

  • Published in Semasa

PEKAN, 17 April - 74 keluarga nelayan diraikan dalam program Sedekad Jelajah Ramadan anjuran Pahangfm di Kampung Nenasi, di sini. Pada majlis tersebut, sumbangan turut diberikan kepada golongan warga emas dan asnaf.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, pada bulan Ramadan ini, RTM tidak melepaskan peluang menyantuni penduduk setempat, sambil membantu golongan memerlukan.

"Sumbangan daripada rakan-rakan strategik Pahangfm, nyata meringankan beban masyarakat yang ketika ini meraikan bulan Ramadan di fasa peralihan endemik.

"Dan kita beri keutamaan kepada mereka yang betul-betul menghadapi kesulitan dari segi kewangan daripada golongan b40 dan ekasih," katanya di sini.

Turut hadir memeriahkan program, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Che Roslan Che Daud dan Pengarah Program Radio, Nor’Ain Bakir.

Dalam majlis sama, Datuk Mohammad Fakhruddin yang juga Adun Bebar menyampaikan sumbangan wang tunai daripada kerajaan negeri kepada lapan penerima bagi tujuan membaik pulih rumah dan perbelanjaan perubatan.

Program yang dianjurkan seharian bersama masyarakat setempat itu, dipenuhi dengan pelbagai pengisian menarik dengan kerjasama rakan-rakan strategik Pahangfm termasuk Syarikat Adabi Kuantan, Universiti Malaysia Pahang, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Lembaga Perindustrian Nanas dan Syarikat Petronas.


(Datuk Mohammad Fakhruddin ketika menyampaikan sumbangan)