Sunday, 26 June 2022

Isu beg berat: KPM sedia kemudahan lokar di sekolah rendah

  • Published in Semasa

KUALA LUMPUR, 6 Mac- Kementerian Pendidikan (KPM) menggariskan tujuh pendekatan dan ketetapan bagi menangani isu beg berat yang dihadapi murid di sekolah rendah.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, ia membabitkan penyediaan lokar di sekolah rendah, penyusunan semula jadual waktu, bilangan buku latihan, penggunaan buku aktiviti dan kerja, pengenalan buku teks digital, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP), serta kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Radzi berkata, kemudahan lokar itu membabitkan 10,662 kelas di sekolah rendah dua sesi di seluruh negara sebagai satu penyelesaian menangani isu beg berat.

Beliau berkata, bagi fasa pertama ia akan melibatkan penyediaan lokar untuk murid Tahap 1,
iaitu Tahun 1, Tahun 2 dan Tahun 3 di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi.

Katanya, bagi Fasa kedua pula, beliau berkata penyediaan lokar akan diperluaskan kepada murid Tahap 2, iaitu Tahun 4, Tahun 5 dan Tahun 6 di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi.

"Kemudahan lokar itu akan akan memanfaatkan seramai 323,000 murid Tahap 1 iaitu tahun 1, tahun 2 dan tahun 3 membabitkan peruntukan berjumlah RM37.3 juta.

“Bagi fasa dua pula, kemudahan lokar bagi murid akan disediakan pada tahun 2023.

“Penyediaan lokar ini adalah pendekatan baharu yang tidak pernah dilaksanakan KPM selama ini,” katanya menerusi kenyataan media dan juga rakaman video di Facebook pada Ahad.

Katanya, murid sekolah rendah satu sesi pula dibenarkan untuk menyimpan buku di dalam laci meja di bilik darjah masing-masing.

Menurutnya, pendekatan lain termasuk menyusun semula jadual waktu dimana hanya tiga atau empat mata pelajaran diajar sehari selepas mengambil kira pemberatan subjek, ketersediaan guru dan sesi persekolahan.

“Sekolah juga akan diberi kelonggaran untuk menyediakan jadual waktu mengikut kitaran minggu dimana hanya subjek tertentu akan diajar dalam sesuatu minggu itu sekali gus mengurangkan buku teks yang di bawa,” katanya.

 

(Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin/FOTO FB)

KPM juga menetapkan bilangan buku latihan untuk satu mata pelajaran tidak melebihi dua buah buku dalam satu-satu masa dan setiap buku tidak melebihi 80 muka surat.

Ia juga menetapkan supaya murid menggunakan buku latihan dan buku kerja yang disediakan kementerian sahaja dan buku kerja lain hanya boleh digunakan di luar waktu pengajaran dan pembelajaran.selain penerbitan baharu buku teks dalam format digital secara berterusan.

"Sehingga kini, sebanyak 692 judul buku teks digital telah dimuat naik dalam pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa).

"Murid yang mempunyai peranti bolehmengakses buku teks digital melalui pelantar DELIMa," katanya.

Sementara itu, KPM menggalakkan guru supaya menggunakan pendekatan PdP berpusatkan murid iaitu pembelajaran bertema, modular, pembelajaran berasaskan projek, simulasi amali (virtual lab) atau pembelajaran terbeza.

Kerjasama dengan pihak Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) juga diadakan dari aspek penyelarasan uniform agar murid diberi kelonggaran untuk memakai uniform sekolah masing-masing semasa sesi persekolahan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).