Tuesday, 29 November 2022

Sindiket "Keldai akaun" terbongkar

  • Published in Semasa

FOTO BERNAMA

 

ALOR SETAR, 4 Februari - Dua lelaki berusia 35 dan 36 tahun ditahan kerana disyaki menjadi 'keldai akaun'; mengepos kad mesin pengeluaran automatik (ATM) untuk permohonan membuat pinjaman secara dalam talian.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner (ACP) Shukri Mat Akhir berkata , kegiatan itu akhirnya terbongkar apabila pemilik kedua-dua akaun berkenaan ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Alor Setar Kedah, semalam.

Ia membabitkan kes penipuan jual beli kamera dalam laman mudah.my dan kes penipuan jual beli kereta dilaman Facebook.

"Kedua-dua mengaku pernah mengepos kad ATM mereka kepada satu alamat untuk permohonan pinjaman kewangan secara dalam talian,"

"Semua maklumat perbankan seperti kata laluan, kata laluan internet perbankan dan maklumat keselamatan turut diserahkan kepada agen peminjam wang dengan alasan sebagai syarat permohonan," kata Shukri dalam satu kenyataan.

Selepas kad ATM diposkan, sindiket terbabit menjual kad ATM kepada mana-mana sindiket seperti Sindiket Macau Scam, Love Scam, Pelaburan tidak wujud, Pinjaman wang tidak wujud dan Penipuan belian online," katanya lagi.

Kebanyakan pemilik akaun ini akan tersedar kad ATM mereka digunakan untuk kemasukan wang penipuan selepas pihak polis menghubungi mereka atau pihak bank telah menyekat akaun mereka.

Berikutan itu kes terbabit disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dengan mendorong supaya harta diserahkan.

Sementara itu Shukri berkata, IPD Kota Setar mencatatkan 105 Kes penipuan dalam talian dalam tempoh Januari hingga Disember 2021 berbanding 66 kes tahun sebelumnya .

Jumlah kerugian pada tahun 2021 direkodkan sebanyak RM1,313,392.38.