Wednesday, 28 September 2022

MyCC tubuh pasukan khas siasat isu persaingan harga ayam dan telur

  • Published in Semasa



KUALA LUMPUR, 1 Februari- Satu pasukan khas ditubuhkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia, MyCC untuk menyiasat isu persaingan membabitkan harga ayam dan telur ayam.

Menurut kenyataan MyCC pihaknya tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan tegas terhadap cubaan mengambil kesempatan berhubung isu berkenaan.

“MyCC tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan tegas berdasarkan kuasanya di bawah Akta Persaingan 2010 terhadap pihak-pihak berkenaan.

“Tindakan ini termasuk mengenakan penalti maksimum dan tindakan tegas lain bagi memastikan penindasan ini dihentikan sama sekali demi kepentingan rakyat,” menurut kenyataan itu, di sini.

Terdahulu, isu kenaikan harga ayam dan telur antara yang dibincangkan pada Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dipengerusikan oleh Perdana Menteri, semalam.

Sementara itu, harga telur ayam untuk semua gred kekal seperti harga kawalan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) semasa.

Pelaksanaan kedua-dua harga berkenaan akan bermula dari 5 Februari sehingga 5 Jun depan.