Tuesday, 17 May 2022

Masih berlaku pergerakan tanah di Lestari Perdana

  • Published in Semasa

SERI KEMBANGAN, 26 Januari - Tanah mendap yang berlaku di sekitar tebing longkang besar di Lestari Perdana, Bandar Putra Permai, di sini, semalam berpotensi berlaku runtuhan susulan.

Laporan itu diperoleh menerusi pemantauan Jabatan Kejuruteraan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) yang mendapati masih berlaku pergerakan tanah di kawasan tersebut.

Pegawai Daerah Petaling, Datuk Johary Anuar berkata sebagai langkah keselamatan, kontraktor yang dilantik MBSJ telah memulakan kerja-kerja pemasangan cerucuk besi sejak malam tadi.

Selain itu, peniaga kawasan berhampiran juga diarahkan menghentikan operasi perniagaan mereka sementara waktu bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

"Pada ketika ini kerja-kerja siasatan tanah ini akan terus dijalankan dan kerja-kerja pembaikan akan dilakukan segera dalam masa terdekat.

"Kalau kita lihat di sini ada 12 cerucuk ditanam iaitu 3 meter daripada runtuhan dan ini hanya sementara. Berdasarkan senario, dapat kita lihat masih terdapat pergerakan tanah. Jadi, kemungkinan kita akan anjakan lagi ke belah dalam dan selepas itu kerja-kerja pembaikan secara keseluruhan akan dilakukan oleh pihak MBSJ", katanya dalam sidang media di lokasi kejadian.

Sementara itu beliau berkata, kejadian tanah mendap itu merupakan kali kedua berlaku berhampiran lokasi yang sama iatu pada 2017.

Dalam kejadian pada pukul 6.38 petang semalam, lima kenderaan yang diletakkan di hadapan bengkel kereta dan berhampiran tebing longkang rosak teruk.

Kejadian difahamkan terjadi ketika hujan lebat menyebabkan longkang pecah dan berlaku mendapan tanah.