Friday, 27 May 2022

Golongan ibu tunggal disaran belajar ilmu IT, bantu kelangsungan perniagaan

  • Published in Semasa

ALOR SETAR, 22 Januari - Golongan ibu tunggal yang menjalankan perniagaan disaran mempelajari ilmu Teknologi Maklumat (IT) bagi mengembangkan perniagaan mereka.

Ia sekali gus dapat meningkatkan pendapatan hasil produk jualan mereka.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat , Kebajikan negeri Kedah, Datuk Halimaton Saadiah Saad berkata pelbagai kursus dianjurkan bagi memberi membimbing mereka menggunakan aplikasi Whatsapp, Tik Tok dan laman Facebook.

Dalam zaman teknologi maklumat kini, melalui jualan acara atas talian mampu melonjakan jualan mereka, malah ada diantara mereka mampu mencecah ribuan ringgit dalam tempoh sebulan, menurutnya.

"Salah satunya membimbing mereka menggunakan aplikasi Whatsapp dan Tik Tok. Itulah sebab kadang-kadang celik IT ini perlu sebab dia dapat bantu dari segi peluang perniagaan."

"Usahawan wanita ini perlu mencari peluang, meski berdepan pandemik COVID-19 kadang-kadang peluang itu hadir dan kita perlu memanfaatkannya," katanya pada sidang media selepas merasmikan program Himpunan Wanita negeri Kedah di Alor Setar.

Pada majlis sama, Tabung Amanah Ikhtiar Malaysia turut mengadakan kerjasama bersama usahawan wanita negeri itu, dalam memberikan pinjaman mudah untuk mereka membangunkan perniagaan.

Setakat ini terdapat lebih 2,000 ibu tunggal di negeri itu yang menjalankan perniagaan.