Monday, 16 May 2022

Patuhi undang-undang, jangan dahului pihak berkuasa- Hamzah

  • Published in Semasa


SELAMA, 22 Januari-
Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengingatkan orang ramai supaya tidak mendahului mana-mana pihak dalam mengadili kes berkaitan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan akan menggunakan segala peruntukan undang-undang sedia ada berkenaan kes tersebut.

“Suruhanjaya Sekuriti telah pun mengeluarkan kenyataan, jadi kita serah dulu pada suruhanjaya itu. Selepas itu, kalau ada lagi tindakan selanjutnya, sebagai Menteri Dalam Negeri sedia melihat kaedah-kaedah lain termasuk menggunakan segala undang-undang yang ada untuk kendalikan kes.

“Jadi, tak perlulah untuk mendahului orang lain dalam soal ini sebaliknya seràhkan sepenuhnya kepada badan perundangan untuk menentukannya,” katanya selepas meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia di Arena Square Kampung Masjid Ijok, Selama, Perak.

Mengulas mengenai tindakan para peserta Perhimpunan Tangkap Azam Baki yang diadakan sekitar ibu negara hari ini, beliau berkata mereka jelas melanggar undang-undang kerana berhimpun beramai-ramai.

“Mereka yang berhimpun mahu memperjuangkan keadilan undang-undang namun tidak sedar tindakan mereka itu telah melanggar undang-undang kerana berhimpun beramai-ramai. Kita tak mahu orang melanggar undang-undang tapi kita sendiri pula yang melanggar undang-undang,” katanya.