Monday, 16 May 2022

58 peratus api di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung masih belum dipadamkan

  • Published in Semasa

NIBONG TEBAL, 22 Januari - Tiada jangka masa tetap boleh diberikan berhubung operasi memadam kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung, sejak ia berlarutan pada 12 Januari lalu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata sehingga kini 58 peratus api di tapak pelupusan itu masih belum dipadamkan.

Kebakaran di fasa empat membabitkan keluasan 6.1 ekar telah dipadamkan sepenuhnya dan kini pihak bomba bersama agensi terlibat lain giat melakukan operasi pemadaman di fasa 1,2,3 dan 5.

"Sektor yang ke-4 sudah pun dapat dikawal dan dipadam sepenuhnya manakala sektor lain seperti 1,2,3 dan 5 masih menjalankan operasi pemadaman," katanya kepada pemberita di Pusat Media Jawi.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat negeri, Hafiz Hafizal Timaradin berkata operasi pemadaman menjadi sukar kerana keadaan angin yang tidak menentu ekoran lokasinya yang terletak di tepi laut.

"Walau bagaimanapun, pengawalan dapat dipertingkatkan cuma sedikit ambil masa untuk kita membuat 'pulling' di tempat dia yang dicakapkan tadi iaitu antara sektor 1 hingga sektor 5," kata Hafiz.

Kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung yang berlaku sejak 12 Januari lalu telah menyebabkan pencemaran udara.

Penduduk di kawasan berhampiran turut diarah berpindah selepas asap yang dikeluarkan dari tapak itu boleh menyebabkan masalah kesihatan kerana menghasilkan toksik.

Tapak pelupusan itu turut diisytiharkan sebagai kawasan Bencana Tahap 1.

Dalam pada itu, Kon Yeow memberitahu sembilan daripada 10 buah sekolah di kawasan terbabit yang diarah tutup ekoran kejadian berkenaan akan mula beroperasi Isnin ini.

Ia melibatkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pai Teik, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong, SJKT Nibong Tebal, SJKT Ladang Changkat, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sentosa, SK Keledang Jaya, SMK dan SK Methodist dan SK Nibong Tebal.

Hanya Sekolah SJKT Ladang Byram, masih belum dibenarkan operasi berikutan keadaan pencemaran udara di sekolah berkenaan masih belum pulih ekoran berada terlalu hampir dengan tapak pelupusan tersebut.