Logo

Sumbangan terhadap penduduk terjejas banjir, Abang Viva terima sijil penghargaan JBPM


PUTRAJAYA, 22 Januari
- Sukarelawan Azwan Omar atau lebih dikenali sebagai 'Abang Viva' antara 10 orang awam yang menerima sijil penghargaan sempena Perbarisan Tahunan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tahun 2022 di Putrajaya.

Pemuda berusia 30 tahun itu yang diangkat sebagai ‘wira’ berikutan pengorbanannya menghulurkan bantuan di beberapa negeri yang dilanda banjir akhir tahun lalu.

Sijil penghargaan diserahkan oleh Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.

Turut menerima sijil penghargaan adalah 15 pengamal media cetak dan elektronik daripada pelbagai agensi termasuk RTM.

Lima Pasukan Bomba Sukarela (PBS) turut diberi sijil penghargaan atas pengorbanan dalam operasi menyelamat mangsa banjir di lokaliti masing-masing pada Disember lalu.

Pada majlis sama, Skuad Kebajikan JBPM juga dilancarkan bagi menyantuni pegawai dan kakitangan JBPM yang ditimpa musibah dan giat melaksanakan aktiviti-aktiviti pascabanjir.

Selain itu, Dasar Latihan Kebombaan dan Penyelamatan (DLKP) yang berkuatkuasa pada tahun ini turut dilancarkan bagi menggantikan Dasar Latihan Sumber Manusia 2007 sebagai penambahbaikan dan pindaan kepada sembilan teras Dasar Latihan Sumber Manusia sebelum ini.

Perbarisan Tahunan JBPM 2022 melibatkan dua orang pegawai dan 51 orang anggota lain-lain pangkat yang diketuai Penguasa Kanan Bomba II, Mohammad Firdaus Khan Anuwat Khan.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.