Friday, 27 May 2022

Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung diisytiharkan Kawasan Bencana Tahap 1

  • Published in Semasa

 

NIBONG TEBAL, 19 Januari - Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung, di sini yang terbakar sejak 12 Januari lalu diisytihar sebagai kawasan Bencana Tahap 1 berikutan asapnya yang mengeluarkan toksik membahayakan kesihatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supritenden Lim Chong Chern berkata, pengisytiharan itu diputuskan oleh Jawatankuasa Bencana Daerah selepas mengambil kira faktor keselamatan susulan pencemaran udara yang mengancam kesihatan penduduk.

Menurut beliau, operasi pemadaman api oleh agensi-agensi terlibat berjalan seperti biasa.

Orang awam tidak dibenarkan berada berhampiran kawasan itu.

"Bukan diwartakan cuma isytihar bukan diwarta ya di kawasan yang diisytiharkan. Cuma di pusat pelupusan sampah sebagai kawasan tu bencana, jadi bila kawasan itu dah diisytiharkan sebagai bencana dengan asap yang keluar dari situ kesannya akan membawa kepada kawasan sekitar," kata Lim.

Beliau bercakap dalam sidang media di Pusat Media Dewan Serbaguna Jawi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, kepekatan tahap pencemaran udara sudah berkurang dan menunjukkan perkembangan positif.

"Pemantauan mendapati gas terhasil daripada kebakaran itu sudah berkurangan, namun debu meningkat disebabkan operasi pengeboman air (water bombing) dari udara oleh pihak bomba," katanya.

Ahad lalu, kira-kira 400 penduduk diarahkan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) susulan kawasan berkenaan berdepan masalah pencemaran udara akibat kebakaran di tapak pelupusan sampah.