Monday, 16 May 2022

Jabatan Kesihatan Kedah kesan penjualan sijil vaksin palsu

  • Published in Semasa

ALOR SETAR, 19 Januari - Kegiatan menjual sijil vaksin COVID-19 palsu turut dikesan di Kedah.

Tanpa mendedahkan lokasi, Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, perkara itu dikesan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kedah.

Menurut beliau terdapat kemungkinan penjualan sijil vaksin palsu di negeri itu mempunyai kaitan dengan kes di Terengganu baru-baru ini.

"Masih dalam siasatan tapi tak bolehlah, masih dalam siasatan mungkin ada hubungan," Mohd Hayati bercakap kepada pemberita di sini.

Mengulas mengenai 98 pelajar di Maktab Mahmud, Pendang yang positif COVID-19 bawah Kluster Dah Penjarum,
beliau berkata sebahagian daripada mereka kini dikuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Dewan Wawasan, Jitra dan sebahagian lagi di asrama maktab.

Setakat ini keadaan adalah terkawal.

Bangunan maktab ditutup selama seminggu bagi tujuan sanitasi.

Selain itu, kluster yang masih aktif ialah Kluster Dah Jalan Merbau melibatkan 52 pelajar Kolej MARA Kuala Nerang, Padang Terap; Kluster Dah Teluk Teduri melibatkan 39 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM); dan Kluster Dah Jalan Pantai melibatkan 33 pelajar SMK Kuala Muda.