Friday, 27 May 2022

10 buah sekolah diarah tutup untuk keselamatan

  • Published in Semasa


NIBONG TEBAL, 18 Januari - 10 buah sekolah berhampiran Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung diarah tutup bermula esok hingga 21 Januari.

Ini susulan kebakaran di tapak pelupusan sampah itu sejak 12 Januari lalu, hingga mengakibatkan pencemaran udara.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri Phee Boon Poh, keputusan itu dibuat hasil kata sepakat dalam Mesyuarat Bencana Daerah yang berlangsung semalam selepas dipanjangkan kepada Bahagian Pendidikan Sekolah Harian (BPSH) dan Pengarah Pendidikan Negeri.

"Ini kerana Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan sekolah dalam lingkungan Radius 10 kilometer, tahap kepekatan udaranya memberi kesan kepada kesihatan dan mengancam nyawa penduduk," kata Phee Boon di sini.

Antara sekolah terlibat adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pai Teik, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nibong, SJKT Nibong Tebal, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sentosa,SK Keledang Jaya, SJKT Ladang Changkat, SMK dan SK Methodist dan SK Nibong Tebal.

Sepanjang tempoh tersebut murid-murid akan melaksanakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdPR) di rumah .

Manakala sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah pula akan dimaklumkan selewat-lewatnya pada 22 Januari menerusi keputusan yang akan dibuat Jawatankuasa Bencana daerah Seberang Perai Selatan.

Penduduk dan warga sekolah juga diminta untuk mengurangkan aktiviti luar dan segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan sekiranya tidak sihat.