Thursday, 20 January 2022

updated 1:53 AM UTC, Jan 20, 2022

Perbuatan sekumpulan remaja bawah umur merempit undang padah

  • Published in Semasa

 



PENDANG, 15 Januari- Perbuatan sekumpulan remaja menunggang motosikal tanpa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya mengundang padah.

Sebanyak 70 saman dikeluarkan dalam Op Samseng Jalanan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Daerah Pendang di kawasan Jalan Alor Nan, Pendang, Kedah, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Pendang, DSP Arriz Sham Hamezah dalam kenyataan kepada RTM memaklumkan, operasi dilakukan selepas mendapat aduan daripada orang awam berkaitan aktiviti menunggang motosikal secara merbahaya di kawasan berkenaan.

Dalam operasi selama tiga jam berakhir pukul 8 malam tadi itu, sebanyak 50 motosikal melibatkan 60 penunggang dan pembonceng motosikal yang majoritinya adalah golongan remaja dan pelajar sekolah, telah diperiksa.

Hasil pemeriksaan, sebanyak 70 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Antaranya, tiada lesen memandu, menunggang motosikal bawah umur, cukai jalan tamat tempoh dan tiada perlindungan insuran.

Selain itu, kesalahan tidak memakai topi keledar, ubah suai kenderaan, aksesori tidak sempurna dan nombor pendaftaran tidak ikut peraturan turut dikesan dalam operasi tersebut.

Sebuah motorsikal turut disita dan dibawa ke Balai Trafik IPD Pendang untuk siasatan lanjut.

DSP Arriz Sham menasihatkan semua ibu bapa agar memantau pergerakan anak-anak terutama pada waktu cuti sekolah dan hujung minggu.

Ia bagi mengelakkan mereka terjebak dengan kegiatan rempit yang membahayakan diri sendiri dan mengganggu ketenteraman awam.