Thursday, 20 January 2022

updated 1:23 AM UTC, Jan 20, 2022

JAWI lancar dana wakaf al-Quran

  • Published in Semasa

PUTRAJAYA, 15 Januari - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyasarkan kutipan RM700,000 untuk membeli sekurang-kurangnya 10,000 al-Quran baharu.

JAWI menerusi satu kenyataan memaklumkan, inisiatif tersebut bagi menggantikan al-Quran rosak dan musnah akibat banjir.

Sumbangan boleh dihulur menerusi tabung wakaf al-Quran atau secara dalam talian dengan mengimbas kod QR di 89 masjid seluruh Wilayah Persekutuan.

"Setakat ini RM170,000 berjaya dikumpul sumbangan beberapa pihak antaranya Zikay Group Berhad, Masjid Jamek Kampung Baru, Pusat Pungutan Zakat dan Wakalah Zakat MAIWP dan Lembaga Tabung Haji.

"Masjid Wilayah Persekutuan turut menyerahkan 200 al-Quran waqaf sumbangan pusat percetakan al-Quran, Nasyrul Quran kepada Masjid Hidayatul Muttaqin, Shah Alam yang terjejas akibat banjir," menurut kenyataan itu.

JAWI melalui Pusat Pelupusan al-Quran Darul Kalam, Raudhatul Sakinah turut melaksanakan perkhidmatan pelupusan al-Quran akibat banjir Disember lalu dengan menerima sejumlah 25,000 kilogram al-Quran rosak daripada individu, sekolah dan beberapa pihak lain untuk dilupuskan.